fb fb fb fb fb

Jenayah kewangan: 173,224 akaun keldai dibongkar, portal Semak Mule jadi rujukan

Portal Semak Mule 2.0 merupakan inisiatif bagi memudahkan masyarakat menyemak penipuan

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Sebanyak 173,224 akaun keldai dikenal pasti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari tahun 2022 hingga Julai 2025 dalam usaha membanteras jenayah penipuan kewangan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata usaha penguatkuasaan diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan, institusi kewangan serta pihak berkepentingan lain, bagi memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan dan aktiviti jenayah dapat dibendung.

“Berdasarkan rekod PDRM, jumlah akaun keldai yang dikenal pasti dari tahun 2022 sehingga Julai 2025 adalah sebanyak 173,224 akaun.

“Bagi menangani isu ini, Kementerian telah melaksanakan pelbagai langkah, antaranya pengukuhan Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) yang telah beroperasi sejak 12 Oktober 2022. Fungsi NSRC turut diperluas sebagai pusat sehenti (one-stop centre) yang beroperasi 24 jam dengan perkhidmatan menyeluruh (end-to-end) bagi menangani jenayah penipuan dalam talian, termasuk kes-kes melibatkan akaun keldai,” katanya.

Antara langkah lain yang dilaksanakan termasuk penggunaan teknologi forensik kewangan, penguatkuasaan undang-undang baharu, serta pewujudan portal Semak Mule 2.0 yang sehingga Julai 2025 telah menerima lebih 35 juta pelawat.

Portal Semak Mule 2.0 merupakan inisiatif Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi memudahkan masyarakat menyemak status akaun bank, nombor telefon dan syarikat yang disyaki terlibat dalam penipuan.

Sehingga 31 Julai 2025, sistem tersebut telah merekodkan 35,734,608 pelawat, dengan semakan terhadap 273,641 akaun bank, 216,706 nombor telefon dan 7,095 syarikat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Norhasmimi Abdul Ghani pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

HASRON BIN HASSAN