KUALA LUMPUR, 17 Disember- Peruntukan pembatalan pelantikan tanpa sebab dalam pindaan Akta Profesion Undang-Undang (Akta 166) bertujuan memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk bertindak segera sekiranya berlaku keadaan yang menjejaskan keberkesanan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LPQB).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata keadaan itu merangkumi isu pelanggaran integriti, ketidakupayaan, ketidakpatuhan atau konflik kepentingan yang boleh menjejaskan fungsi serta keberkesanan lembaga berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kuasa tersebut tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana setiap keputusan menteri tertakluk kepada prinsip undang-undang pentadbiran yang perlu bersifat rasional, munasabah dan tidak dibuat dengan niat jahat (mala fide).
“Sebenarnya, sama ada pembatalan dengan sebab atau tanpa sebab, tidak berbangkit memandangkan mana-mana anggota yang dibatalkan pelantikan masih boleh memohon semakan kehakiman di mahkamah."
"Ini adalah satu proses undang-undang yang lazim di negara ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2025 di Dewan Negara, hari ini.
RUU itu diluluskan dengan majoriti suara selepas dibahaskan oleh 11 Senator.
Mengulas lanjut, Kulasegaran menjelaskan sebarang pembatalan pelantikan perlu disusuli dengan pelantikan pengganti berdasarkan pencalonan asal bagi memastikan keseimbangan struktur LPQB, selain menegaskan menteri tidak boleh mengubah perwakilan mengikut kehendak sendiri.
Beliau turut menekankan peranan pengawasan Parlimen, media dan masyarakat sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan kuasa tersebut digunakan secara berhati-hati dan bertanggungjawab, serta menegaskan peruntukan itu berfungsi sebagai mekanisme keselamatan, bukannya ancaman kepada integriti lembaga.