fb fb fb fb fb

Kuala Lumpur-Tokyo sepakat makmur hubungan, fokus kerjasama komprehensif 

TOKYO, 27 Mei - Kemuncak lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke Jepun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan bilateral bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.

Pertemuan pertama kedua-duanya berlangsung mesra kira-kira setengah jam di Pejabat Perdana Menteri Jepun di Tokyo.

Perdana Menteri dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas hubungan diplomatik 65 tahun yang berjaya serta sokongan Jepun sepanjang Dasar Pandang Ke Timur yang berlangsung selama 40 tahun yang lalu.

Malaysia berharap hubungan berkenaan dapat dimakmurkan lagi dengan peningkatan kerjasama strategik kepada kerjasama komprehensif.

Ia pertemuan pertama Ismail dan Kishida semenjak kedua-duanya menjawat jawatan Perdana Menteri.

Pertemuan turut disertai delegasi Malaysia yang lain termasuk menteri-menteri kabinet.

Kishida dalam ucapannya juga mengalu-alukan kerjasama Malaysia terutama dalam menjayakan bidang-bidang dalam kerjasama Free Open Indo Pacific (FOIP).

Membuktikan keyakinan kedua-dua pihak, kerajaan Malaysia dan Jepun memuktamadkan tiga memorandum kerjasama MOC dalam tiga sektor utama disaksikan sendiri kedua-dua Perdana Menteri susulan pertemuan empat mata.

MOC melibatkan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Mengenai Industri Pesawat, diterajui Kementerian Perdagangan dan Antarabangsa, Kerjasama Rangka Kerja Asas bagi Maklumat Pengoperasian Sistem Sumber Manusia Asing Berstatus Pekerja Mahir diterajui Kementerian Sumber Manusia dan kerjasama Kementerian Pendidikan, Budaya, Sains dan Teknologi mengenai golongan belia yang diterajui Kementerian Belia dan Sukan.

Mengulas lanjut sasaran memorandum kerjasama berkenaan, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin Jepun juga berkongsi hasrat yang sama dengan Malaysia untuk terus meneroka potensi daripada kejayaan hubungan perdagangan dan pindahan teknologi diantara kedua-duanya.

Buktinya, dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini, jumlah perdagangan Malaysia-Tokyo meningkat kepada RM56 bilion iaitu peningkatan 13.1 peratus walaupun dalam keadaan dunia masih lagi berdepan pandemik COVID-19.

Begitu juga dalam bidang lain, kerjasama seumpama amat penting bagi Malaysia membuat persediaan terutamanya ketika revolusi industri 4.0 akan berlaku di semua sektor dalam tempoh 10 tahun akan datang.

(Azmin ketika ditemui pemberita di sini)

"Saya telah adakan perbincangan dengan rakan sejawatan saya terutama Takiyuda Menteri Ekonomi Perdagangan dan Industri Jepun. Banyak telah disentuh, antara perkara yang ditegaskan ialah perjanjian Malaysia-Jepun untuk memperkasakan industri aero angkasa di Malaysia. Kita sudah capai persetujuan untuk satu kerjasama dan satu memorandum of cooperation telah ditandatangani antara Malaysia-Jepun untuk memperkasakan aktiviti aeroangkasa. Ia membuktikan Malaysia terus kekal menjadi sebahagian hub industri berteknologi tinggi yang menjadi paksi utama RMK12,antara aktiviti yang akan dijalankan ialah MRO dan juga aktiviti hiliran aeroangkasa, dan ia akan memberi peluang kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia untuk terlibat dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa ini," kata Menteri Kanan Perdagangan, Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali di sini.

"Antara perkara yang sama-sama kita bincang adalah untuk kita bekerjasama dalam usaha untuk mendapatkan atau melatih sukarelawan dalam menghadapi bencana. Terutama sekali di Malaysia ini, bencana banjir dan dari segi kesukarelawan dalam penganjuran sukan antarabangsa, kita semua tahu bahawa Jepun baru sahaja menganjurkan sukan dengan begitu berjaya walaupun dalam waktu pandemik. Dan Malaysia ditawarkan untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA pada tahun 2027. Saya fikir ini juga satu perkara yang penting dapat kita pelajaridaripada Jepun ini," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu.

"Dari segi dasar kita telah bersetuju supaya 1,000 belia di Malaysia dihantar ke negara Jepun untuk menjalani latihan khas atau 'on the job training'. Dimana sepanjang mereka di Jepun mereka akan dibayar gaji yang lumayan. Pada masa sama mereka akan dibekalkan dengan latihan untuk mengurus dengan teknologi yang canggih. Ini satu usaha yang baik yang mana kita lihat program ini akan dijalankan selama lima tahun. Selepas lima tahun mereka akan kembali ke tanah air kita dan ini akan membuka ruang untuk syarikat-syarikat daripada Jepun untuk beroperasi di Malaysia," menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan di sini.

Dalam sesi bersama 23 kepimpinan tertinggi syarikat-syarikat Jepun, Perdana Menteri berkesempatan mengenali rapat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang  kebanyakannya terlibat daripada kesemua latar industri di Jepun termasuk industri minyak dan gas serta perkhidamatan.

Ismail telah menyatakan komitmen kepada syarikat-syarikat berkenaan untuk sentiasa memudah cara dan membantu melicinkan proses pelaburan di Malaysia melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang ada di Jepun.

Dalam sesi sama Ismail turut menyaksikan penyerahan Surat Niat oleh Universiti Malaysia Kelantan, UMK diwakili Timbalan Ketua Setiausaha 1, Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin kepada Euglena Company Limited dan Leave a Nest Company Limited.

Media Baharu