KUALA LUMPUR, 25 Mei- Beberapa kawasan di Kuala Lumpur khususnya sekitar Lembah Pantai dan Bangsar dilanda hujan lebat serta angin kencang hingga mengakibatkan insiden pokok tumbang dan bumbung bangunan terbang kira-kira pukul 6.20 petang tadi.
Tinjauan pemberita mendapati antara lokasi yang terlibat adalah Bukit Pantai, Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pangsapuri Putra Ria, Bukit Angkasa dan Angkasapuri.
Kejadian pokok tumbang juga menghempap kenderaan dan menghalang lalu lintas.
Bagaimanapun setakat berita ini ditulis, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan antara kawasan terlibat adalah Jalan Klang Lama, sekitar Universiti Malaya (UM) dan Taman Tun Dr. Ismail.
Kerja-kerja pemotongan dan pembersihan sedang dilakukan bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).