SHAH ALAM, 25 Mei - Usaha membangunkan industri landskap akan diperhebatkan tahun ini berikutan potensi besar yang ditunjukkan industri itu sebagai sumber ekonomi baharu negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kementeriannya menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeksport produk landskap dengan jangkaan peningkatan nilai industri itu kepada hampir RM30 bilion sekali gus menyumbang dua peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"KPKT akan memperhebatkan lagi perdagangan untuk menarik pelabur masuk dan beli produk landskap dari negara kita. Kita mahu jadi pengeksport bukan pengimport, kita mahu eksport kepakaran kita, produk kita," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2024, di sini.
Tambah Kor Ming, bagi tahun lepas sahaja, Malaysia berjaya mengeksport perabot termasuk perabot taman ke luar negara bernilai hampir RM13 bilion.
HLN 2024 diadakan selama 10 hari bermula semalam hingga 2 Jun ini bertujuan memberi peluang kepada penggiat industri untuk mempamer dan berinteraksi dengan lebih ramai pemegang taruh serta meluaskan jaringan perniagaan dan hubungan antara penggiat industri dan masyarakat.