MELAKA, 25 Mei - Lebih 700,000 murid golongan B40 di seluruh negara menerima manfaat dalam Program Susu Sekolah (PPS), kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut beliau, langkah itu merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menangani isu kemiskinan multidimensi terutamanya melibatkan isu malnutrisi murid.
Katanya, Program PPS itu dilaksana di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan kerjasama rakan sinergi termasuk syarikat pengeluar produk tenusu Farm Fresh Berhad kepada 7, 398 sekolah rendah di seluruh negara.
"Jadi ini juga selaras dengan inisiatif di peringkat KPM yang sudah pun berada dalam gerakan yang menumpukan kepada pemakanan yang sihat dan seimbang.
"Setiap kanak-kanak berhak menerima nutrisi pemakanan yang seimbang. Kanak-kanak yang mendapat makanan berkhasiat akan membesar dengan sihat dan berupaya membentuk potensi diri sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Hari Susu Sekolah Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Shafruddin Ali Hussin serta Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh Azmi Zainal.
Pada majlis itu beliau turut menyerahkan beberapa anugerah antaranya bagi Pertandingan Susu Subsidi Peringkat Kebangsaan serta Pengurusan RMT dan PSS Terbaik Peringkat Kebangsaan.
Tambah beliau, penganjuran Karnival Hari Susu Sekolah perlu diteruskan bagi meningkatkan kesedaran bahawa pentingnya pengambilan makanan seimbang dalam kalangan murid sekolah rendah.