KOTA BHARU, 25 Mei - Pemain industri khususnya sektor pertanian dan pengangkutan perlu memanfaatkan sepenuhnya teknologi 5G yang mempunyai peranan sangat besar dalam melonjakkan kemajuan ekonomi negara.
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Digital, Datuk Rodzi Md Saad berkata, Malaysia sedang bergerak ke arah pendigitalan selari dengan perkembangan pesat teknologi digital ketika ini.
Ujar Rodzi, liputan 5G bukan sahaja penting bagi perhubungan antara telefon, malah mempunyai fungsi lebih besar dalam beberapa industri.
Jelas beliau, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi di bawah kementerian digital memainkan peranan penting dalam memastikan negara mencapai liputan 5G yang cekap dan berkesan.
"Ketika ini, capaian liputan 5G dalam negara menjangkau 85 peratus dan rakyat harus memanfaatkannya sebaik mungkin bukan sekadar untuk berhubungan semata-mata malah lebih daripada itu.
"Dalam aktiviti pertanian, contohnya apabila ada liputan 5G yang baik, bidang tersebut boleh dimodenkan di mana petani boleh menggunakan drone untuk memantau tanaman, sama ada tanaman rosak, pembajaan, pengesanan, malah kawalan air di sawah padi juga boleh menggunakan 5G tanpa petani perlu hadir ke lokasi," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Saya Digital JSD@Kota Bharu, di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Hilmi Abdullah.
Tambah beliau, dengan adanya sistem pengangkutan awam di bandar seperti bas, teksi dan sebagainya boleh diintegrasikan sekali gus membantu kecekapan pengangkutan awam dengan lebih sistematik dan teratur.