fb fb fb fb fb

KTMB perkukuh kesiapsiagaan menjelang pelaksanaan ETS3 KL–JB

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang memperkemas segala aspek operasi menjelang pelancaran Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) bagi laluan KL Sentral–Johor Bahru Sentral, yang dijangka bermula pada 12 Disember ini/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 November – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang memperkemas segala aspek operasi menjelang pelancaran Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) bagi laluan KL Sentral–Johor Bahru Sentral, yang dijangka bermula pada 12 Disember ini.

KTMB menerusi kenyataan memaklumkan, persediaan rapi telah dilakukan melibatkan penyusunan jadual perjalanan, kesiapsiagaan sistem tiket, serta penempatan petugas operasi.

Namun, pelaksanaan rasmi masih menunggu kelulusan akhir daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan agensi berkaitan.

"Empat daripada 10 set tren ETS3 telah lulus Pemeriksaan Cermat Akhir (PCA) dan mendapat pensijilan penuh untuk beroperasi," menurut kenyataan itu.

Bagi fasa permulaan, ETS3 dirancang menawarkan empat perjalanan sehari bagi laluan KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral.

Jumlah itu akan ditambah secara berperingkat mengikut penerimaan set tren yang berjaya melepasi pemeriksaan PCA.

Pengoperasian dari arah JB Sentral ke utara pula akan diperkenalkan secara berfasa, bergantung kepada kesiapsiagaan infrastruktur, keperluan penjadualan, serta ketersediaan aset operasi.

KTMB menegaskan komitmen untuk memastikan pelaksanaan ETS3 memenuhi standard keselamatan tertinggi sambil menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih moden, selesa dan efisien kepada penumpang.

"Maklumat rasmi mengenai jadual perjalanan dan pembelian tiket akan diumumkan dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi rasmi KTMB atau Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200," tambah kenyataan itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Sabtu memaklumkan perkhidmatan ETS3 bagi laluan KL Sentral-Johor Bahru dijangka mula beroperasi pada 12 Disember.

Loke berkata fokus awal operasi ETS3 adalah laluan Johor Bahru-Kuala Lumpur bagi memastikan kekerapan tren lebih tinggi berbanding laluan yang lebih panjang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN