fb fb fb fb fb

Banjir Kelantan: Jumlah penduduk terjejas meningkat 1,377

Foto RTM

BACHOK, 22 November - Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan terus meningkat.

Setakat pukul 11 malam, 1,377 individu membabitkan 562 keluarga diarah berpindah ke Pusat Pemindaham Sementara (PPS).

Menurut Info Bencana JKM, penduduk paling ramai terjejas ialah di jajahan Tumpat yang menyaksikan 592 individu membabitkan 255 keluarga ditempatkan di dua PPS.

Sementara itu, jajahan Bachok turut merekodkan peningkatan penduduk terjejas iaitu 540 individu berbanding 308 individu pada pukul 7 petang tadi.

Ia melibatkan 153 keluarga yang berlindung di 3 PPS iaitu SK Pauh Sembilan,  SK Jelawat dan terbaharu, SK Pa’ Pura. 

Kota Bharu menyaksikan peningkatan mendadak apabila enam PPS dibuka setakat ini yang menjadi tempat berlindung 246 individu daripada 142 keluarga. 

Antaranya, PPS yang baru dibuka ialah SM Raja Sakti, SK Sering, SK Seribong dan SK Sabak. 

Sementara itu, menurut portal Public Info Banjir JPS, Sungai Galas di Limau Kasturi Gua Musang merekodkan trend menurun, namun masih melepasi paras berjaga-jaga iaitu 56.12 meter.

Dua lagi sungai, masing-masing menunjukkan trend meningkat ıalah Sungai Melor di Jambatan Melor, Bachok (5.81 meter) dan Empangan Bukit Kwong Pasir Mas(15.43 meter).

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN