KUALA LUMPUR, 18 Disember - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini melancarkan Kelab KOMI, sebuah inisiatif komuniti yang dirangka khas bagi mempererat hubungan perkhidmatan KTM Komuter dengan golongan kanak-kanak, remaja dan keluarga.
Menurut Ketua Pegawai Teknikal merangkap Menanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Ir. Ahmad Nizam Bin Mohamed Amin, kelab ini merupakan pendekatan menyeluruh untuk membentuk pengalaman perjalanan yang lebih bermakna.
"Kelab KOMI diwujudkan untuk memupuk budaya penggunaan pengangkutan awam sejak usia muda, sekali gus menyusun inisiatif sedia ada secara lebih berstruktur," menurutnya.
Antara program utama ialah KOMI RIDE, yang menyatukan manfaat perjalanan sedia ada, serta pengoptimuman Program MyRailLife sebagai asas akses perjalanan dan pengalaman pengguna.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Perkhidmatan KTMB, Suhaila Saad berkata, KTMB turut merancang pelaksanaan program tambahan melalui kerjasama rakan strategik bermula tahun 2026 melibatkan aspek kebajikan, pendidikan dan aktiviti komuniti.
"KTMB akan terus memperluas kerjasama dengan lebih ramai rakan strategik pada masa hadapan. Kami akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa mengenai pelbagai kelebihan tambahan yang bakal dinikmati oleh ahli, selaras dengan perkembangan kolaborasi tersebut," katanya.
Pendaftaran keahlian Kelab KOMI akan dibuka mulai 1 Januari 2026 dan ditawar secara percuma kepada kanak-kanak serta remaja yang layak.-RTM