fb fb fb fb fb

5.6 juta terima SARA bulanan, belanja cecah RM4.59 bilion

Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus membawa kegembiraan kepada rakyat, termasuk golongan berkeluarga yang tersenarai sebagai penerima/foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Disember - 5.6 juta penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan dicatatkan setakat ini, dengan jumlah kelayakan keseluruhan bagi 2025 mencecah RM5 bilion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata sehingga 17 Disember lepas, hampir 5.6 juta penerima SARA, termasuk rayuan baharu yang diluluskan telah menggunakan MyKad bagi pembelian barangan asas di premis berdaftar yang mencatatkan kadar penggunaan 99 peratus dan perbelanjaan berjumlah RM4.59 bilion.

"Bagi penghargaan SARA sekali bayar atau one-off kepada lebih 22 juta rakyat dewasa pula menyaksikan lebih 20 juta penerima berbelanja atau mewakili 92 peratus daripada keseluruhan bilangan penerima dengan nilai perbelanjaan melebihi RM1.91 bilion.

"Kerajaan komited dan sentiasa mmantau situasi semasa program bantuan kerajaan terus di salurkan kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai langkah jangka panjang Kementerian Kewangan (MOF) dalam memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dijalankan tanpa isu teknikal berkaitan penyalahgunaan MyKad untuk bantuan SARA di Dewan Negara, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Datuk Seri Amir Hamzah, berkata kapasiti sistem pembayaran SARA telah melalui usaha penambahbaikan ketara bagi menangani lonjakan transaksi susulan pelaksanaan Penghargaan SARA dan bantuan SARA bulanan bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah.

"Berdasarkan prestasi semasa pelaksanaan SARA, transaksi seminit adalah 7,000 berbanding 2,700 seminit sebelum ini dan akan mencecah 10,000 transaksi seminit selepas penambahbaikan ke atas sistem pada akhir tahun ini.

"Pada ketika ini, purata transaksi seminit adalah 1,000 mengambil kira kestabilan sistem dan pembelian yang dibuat oleh penerima," jelasnya lagi.

Tambah beliau, kerajaan juga tidak melihat sebarang cabaran ketara dari segi penggunaan SARA, memandangkan kadar penggunaannya yang tinggi setakat ini.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI