KUALA LUMPUR, 18 Disember – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang mempertimbangkan keperluan untuk menyegerakan perolehan aset udara negara, termasuk kemungkinan mempercepatkan program perolehan Pesawat Tempur Pelbagai Peranan (MRCA).
Ia susulan ketidakpastian berhubung cadangan perolehan pesawat F/A-18 Hornet daripada Tentera Udara Kuwait (KAF).
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, berkata hasil penilaian mendapati perancangan memperoleh pesawat Hornet Kuwait berdepan isu garis masa yang tidak menentu, selain beberapa kekangan teknikal yang perlu diberi perhatian serius sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
"Ketetapan Kuwait adalah selepas 12 hingga 18 bulan mereka menerima pesawat Super Hornet barulah mereka boleh mempertimbangkan untuk menjual F/A-18 C/D Hornet kepada mana-mana negara yang berminat.
"Tetapi sehingga hari ini, Kuwait tidak tahu bila pesawat Super Hornet mereka akan tiba. Belum ada lagi ketetapan tarikh perolehan pesawat Super Hornet oleh Kuwait," katanya kepada pemberita selepas hadir ke majlis Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM 2025 di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa ketidaktentuan itu memberi kesan kepada perancangan jangka panjang TUDM memandangkan tempoh operasi pesawat sedia ada semakin singkat.
"Berdasarkan perancangan sedia ada, sasaran ditetapkan pada 2035. Namun menjelang 2026, hala tuju perolehan tersebut masih belum dimuktamadkan," tambahnya.
Beliau turut mendedahkan TUDM menerima makluman rasmi daripada pihak Amerika Syarikat (AS) berhubung kekangan operasi sekiranya pesawat Hornet Kuwait diperoleh.
"Kita juga menerima surat secara rasmi daripada Kedutaan AS yang mengatakan bahawa meskipun pesawat Kuwait diterima, kita tidak boleh menerbangkan pesawat tersebut tanpa menukar perisian dan proses menukar perisian tersebut memerlukan 15 bulan lagi," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keputusan perolehan perlu dibuat secara berhati-hati.
"TUDM tidak mahu membuat sebarang keputusan yang silap kerana ia boleh menimbulkan persoalan serta memberi kesan berpanjangan kepada perkhidmatan itu pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu sebagai langkah alternatif, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan berkata TUDM akan meneruskan perolehan pesawat pejuang ringan FA-50 mengikut perancangan.
"Insya-Allah, mengikut perancangan, TUDM dijangka menerima enam buah pesawat FA-50 menjelang akhir tahun depan, manakala 18 buah lagi akan diserahkan secara berperingkat bermula 2027," kata beliau ketika memperincikannya.
Beliau menambah, sekiranya keupayaan sedia ada masih tidak mencukupi, TUDM tidak menolak kemungkinan untuk mempercepat pelaksanaan program MRCA.
Program MRCA merupakan antara komponen utama Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), iaitu pelan jangka panjang yang digubal kerajaan bagi memodenkan keupayaan armada udara negara secara berperingkat antara tahun 2035 hingga 2040.
Menerusi CAP55, TUDM menyasarkan perolehan dua skuadron pesawat MRCA bagi menggantikan pesawat Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet
yang sedang beroperasi.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata TUDM turut mencatat kemajuan dalam perolehan pesawat tanpa pemandu ANKA dari Turkiye, dengan kumpulan pertama dijangka tiba di Labuan pada penghujung Januari 2026.
Selain itu, dua pesawat rondaan maritim ATR-72 MPA kini berada dalam fasa pengubahsuaian dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027, tertakluk kepada penerimaan sistem utama dari AS.