fb fb fb fb fb

Agenda melayu Wilayah Persekutuan terus terjamin - Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Disember -Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan agenda kepentingan orang Melayu di Wilayah Persekutuan tidak perlu dibimbangkan dan tetap terpelihara walaupun portfolio itu diterajui oleh menteri dan timbalan menteri berbangsa Cina.

Jelasnya, semua keputusan utama berkaitan dasar dan pelaksanaan agenda nasional dibawa ke peringkat Kabinet, yang membuat pertimbangan berlandaskan prinsip keterangkuman serta kepentingan semua pihak tanpa mengira kaum.

“Datuk Bandar ialah orang Melayu dan hal ehwal Wilayah Persekutuan juga diketuai oleh orang Melayu. Jadi agenda orang Melayu di Wilayah Persekutuan tidak akan diketepikan kerana ia bukan soal keperhatian atau soal bangsa,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI mengamalkan penekanan terhadap pendekatan inklusif dalam semua pelaksanaan agenda nasional, termasuk di Wilayah Persekutuan.

Mengulas isu pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), Zahid berkata walaupun ia berada di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), agensi pelaksana adalah pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan pelaksanaannya perlu dilihat secara holistik.

“Jangan dilihat apabila menterinya Cina dan timbalan menterinya Cina, lalu dianggap agenda kaum tertentu diutamakan.

“Daripada pengalaman peribadi saya mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan, saya melihat prestasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), khususnya dalam bidang sukan, di bawah kepimpinan beliau tidak dilihat berasaskan petak-petak kaum.

“Saya juga dapat melihat bahawa tidak wujud agenda perkauman dalam KBS yang dikendalikan oleh Hannah,” katanya.

Tambah Zahid, walaupun timbalan menteri berbangsa Cina, beliau mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan perlu mengambil kira tanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Saya tidak fikir agenda nasional akan diketepikan. Insya-Allah Perdana Menteri serta dua Timbalan Perdana Menteri akan bersama-sama bukan sahaja memantau, malah memastikan agenda nasional dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persepsi segelintir pihak yang mendakwa pelantikan menteri berbangsa Cina ke portfolio Wilayah Persekutuan akan menindas kepentingan orang Melayu.

Terdahulu, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Ke-3 di ibu negara.

AZRUL FAIZAL JUSOH