fb fb fb fb fb

KSM rangka dasar untuk pekerja ekonomi gig sebelum perkenal akta

(FOTO BERNAMA)

BUTTERWORTH, 4 Jun- Kementerian Sumber Manusia sedang merangka dasar untuk pekerja ekonomi gig yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran makanan p-hailing dan e-hailing sebagai garis panduan sebelum mengeluarkan akta khas, mempertahankan hak golongan berkenaan terutama dari segi pendapatan dan keselamatan sosial dalam tempoh dua minggu lagi.

Menurut menterinya, V.Sivakumar, KSM sedar tentang keperluan akta tersebut dan kini ia dalam proses penggubalan dasar di peringkat kementerian.

Beliau percaya pekerja ekonomi gig tidak didiskriminasikan oleh majikan sekiranya kerajaan mewujudkan akta membabitkan sektor itu.

Katanya, buat masa ini bukan sahaja Malaysia bahkan negara-negara lain juga belum ada akta atau undang-undang bagi mengawal pekerja ekonomi gig.

"Kementerian Sumber Manusia sedang merangka dasar polisi untuk melihat bagaimanakah kerajaan boleh membantu supaya golongan pekerja gig ini tidak didiskriminasi oleh majikan dan yang kedua, perlindungan sosial yang boleh diberikan kepada mereka.

"Mungkin dalam seminggu dua ini, garis panduan itu saya akan terima daripada pihak pegawai-pegawai kementerian dan kita akan telitikan perkara ini,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta KSM merangka akta khas bagi membela nasib pekerja industri ekonomi gig terutamanya dari segi pendapatan serta keselamatan sosial.

Terdahulu, Sivakumar merasmikan Majlis Penutup Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Peringkat Pulau Pinang di Butterworth Arena hari ini.


(V.Sivakumar dalam sidang media selapas merasmikan Majlis Penutup Karnival Kerjaya MYFutureJobs
dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Peringkat Pulau Pinang di Butterworth Arena)

Media Baharu