fb fb fb fb fb

KRT sedia gerak kerja bantu penduduk terjejas banjir

FOTO HIASAN / BERNAMA

Putrajaya , 26 Disember- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah menggerak dan memperkukuhkan peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam memastikan kelangsungan dan kesejahteraan hidup komuniti semasa dan pasca bencana banjir.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Dago Dagang berkata, bagi tujuan pemantauan beliau telah mengarahkan semua jentera perpaduan di peringkat negeri dan daerah/bahagian iaitu Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Skuad Uniti (SU) agar mengemukakan laporan dan butiran lengkap kesemua penduduk di kawasan terjejas.

Katanya, menurut laporan sehingga 24 Disember, sebanyak lima buah KRT telah terjejas banjir dengan bilangan penduduk yang terlibat ialah seramai 450 orang daripada 198 buah keluarga.

"KPN juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM135,000 kepada 12 buah pejabat JPNIN Negeri bagi persiapan gerak kerja pasca banjir seperti program RT Cares, Dapur Komuniti KRT, aktiviti pembersihan lokasi terjejas banjir, ziarah perpaduan dan gerak kerja lain yang bersesuaian dengan keperluan semasa komuniti yang terjejas.

"KPN akan terus memantau keadaan di kawasan yang terjejas banjir,"katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Datuk Aaron, KRT yang terkesan akibat banjir dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, menjaga keselamatan diri serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE