fb fb fb fb fb

KIAM’23 sasar 50,000 pengunjung

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Datuk Rahmad Mariman

MELAKA, 28 Disember - Karnival Islamik Antarabangsa Melaka Tahun 2023 (KIAM’23) dijangka menerima lebih 50,000 pengunjung yang bermula hari ini hingga 1 Januari depan di Perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata program selama lima hari itu sarat dengan program islamik bersempena tahun baharu dan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menariknya program berkenaan turut melibatkan peniaga asnaf dan hadiah wang tunai RM20,000 serta cabutan bertuah bernilai RM60,000 turut ditawarkan.

"Kita akan mengetengahkan peniaga-peniaga asnaf negeri Melaka dan fiesta makanan halal daripada vendor-vendor terkenal seluruh negeri seluruh negeri yang akan dibawakan khas rakan kerjasama kita.

"Pesta makanan diadakan, termasuk artis terkenal akan memperagakan masakan-masakan mereka pada waktu tersebut dan juga kali ini tampil satu kelainan menyediakan wang tunai dan baucer bernilai RM20,000 untuk mereka yang datang awal pada hari ini pukul 11.00 pagi, jadi jangan lepaskan peluang lah," kata Rahmad dalam sidang media selepas menjadi tetamu program Apa Khabau YB di MELAKAfm, Jalan Tamingsari.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata acara kemuncak adalah Bandaraya Melaka Berselawat 2023 yang menyasarkan kehadiran lebih 40,000 pengunjung serta perkahwinan 20 pasangan pengantin mualaf.

Pelbagai acara menarik lain dianjurkan antaranya bacaan al-Quran 24 jam tanpa henti, Ijtimak Murabbi, Forum Perdana, Pertandingan Kompang Kreatif, dan Majlis Khatam Al Quran.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri Melaka akan mengetatkan pemantauan dan penjagaan penghuni asrama golongan mualaf atau saudara baharu negeri itu.

Katanya, langkah itu dilakukan bagi mengelakkan sebarang salah laku di pusat penginapan berkenaan yang disediakan percuma bagi membantu mualaf di negeri berkenaan.

Malah, tapisan lebih ketat juga akan dilakukan termasuk mewujudkan beberapa garis panduan bagi meningkatkan tahap keselamatan penghuni di dua lokasi asrama.

"Kesemua penghuni asrama berkenaan datang daripada pelbagai latar belakang, malah ada juga berlaku kes kes yang tak sepatutnya berlaku sebab ianya bukan sahaja di situ mungkin di tempat tempat lain juga berlaku.

"Apabila kes ini dah berlaku saya terus mengambil tindakan membuat lawatan dan juga menggariskan beberapa peraturan yang barulah supaya perkara ianya tidak berlaku lagi antaranya saya bagi contoh tempat penginapan bilik tempat mereka tinggal tidak boleh tinggal berdua, sebaliknya perlu lebih daripada dua orang, tiga mahupun empat,"katanya.

Terdahulu, seorang lelaki ditahan disyaki meliwat kanak-kanak berusia 12 tahun sebanyak 30 kali di sebuah asrama lelaki saudara baharu, sejak Mei lalu.

Suspek yang tidak bekerja itu direman enam hari bermula hingga 30 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
 

TETITIA YUSOFF