Krisis Sudan: Kerajaan sedaya upaya bawa pulang 29 rakyat Malaysia

(Seorang penunjuk perasaan membawa bendera di Khartoum, Sudan/REUTERS)

KUALA LUMPUR, 17 April – Kerajaan kini berusaha sedaya upaya membawa pulang 29 rakyat Malaysia di Sudan ke tanah air dengan selamat susulan konflik di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya telah berhubung dengan beberapa negara sahabat seperti Arab Saudi, Turkiye, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, China dan Amerika Syarikat serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu proses membawa rakyat Malaysia keluar dari Sudan sebaik keadaan mengizinkan.

Zambry berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada masa ini beliau memaklumkan keadaan di Sudan masih lagi tegang akibat pertempuran antara kedua-dua pihak bertelagah yang dilapor masih sengit terutama di kawasan strategik di Khartoum.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum masih belum dibuka kembali dan ini menyukarkan perancangan untuk membawa keluar rakyat-rakyat asing dari pelbagai negara termasuklah Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Putra telah mengaktifkan “Operasi Sudan” yang bertugas 24 jam sejak krisis di Sudan berlaku.

“Pasukan khas disertai beberapa agensi telah membuat persiapan dan perancangan rapi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Sudan dipelihara.

“Kesemua 29 rakyat Malaysia mengikut nasihat dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum supaya terus berada di tempat masing-masing,” katanya.

Tambah beliau, pasukan khas juga sedang berhubung rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum mengenai kaedah paling selamat untuk menambah bekalan keperluan asas, khususnya makanan dan ubat-ubatan kepada kesemua mereka di Sudan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dalam hantaran di laman Facebook Istana Negara menyarankan agar kerajaan bersedia untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan sekiranya konflik di negara itu bertambah tegang.

“Situasi di Sudan terlalu kompleks. Ini membabitkan perbalahan politik antara dua pihak utama ‘Transitional Sovereignty Council’.

“Berdasarkan laporan diterima, kedua-dua pihak masih belum mencapai kata sepakat untuk menamatkan pertempuran bersenjata yang sudah meletus sejak dua hari lalu.

“Malaysia berharap pemimpin kedua-dua kumpulan terbabit dapat mendengar rayuan masyarakat antarabangsa supaya menghentikan pertempuran dengan serta-merta sekali gus kembali ke meja perundingan bagi mencari titik persefahaman untuk menyelesaikan segala isu atau perbalahan berbangkit,” katanya.

Konflik di Sudan, yang melibatkan dua pihak iaitu Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), telah mencetuskan pergolakan politik serta menggugat keselamatan di negara itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan kerajaan memantau rapi konflik berlaku di Sudan dan akan membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di negara itu sekiranya situasi semasa memberi risiko kepada keselamatan mereka.