fb fb fb fb fb

KPWKM tambah baik isu berkaitan wanita, perhalusi tiga kluster

SHAH ALAM, 22 Julai - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperhalusi tiga kluster berkaitan kepimpinan, perundangan dan sosioekonomi untuk dibawa ke Dewan Rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ketiga-tiga kluster itu penting bagi menambah baik isu berkaitan wanita.


(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun)

"Dalam sosio ekonomi kita tidak boleh lari daripada membincangkan kos sara hidup, kos penjagaan anak-anak sebab apabila sebut tentang wanita ini dia berkait rapat bukan sahaja kos sara hidup tetapi juga kos penjagaan anak.

"Dalam kluster perundangan, kita nak membantu dari segi kita nak menyebar luas kefahaman kesedaran dan pendidikan tentang RUU anti gangguan seksual yang baru diluluskan," katanya dalam sidang media selepas Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022, di sini.

Dalam perkembangan lain, status Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah intip dan hendap atau dikenali sebagai 'anti-stalking law' kini di peringkat perincian terakhir dan dijangka dapat dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata satu sesi taklimat dan pemakluman terkini berhubung perkara itu akan dibuat bersama ahli Parlimen, Senator serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada minggu depan.

(Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin)

"Anti-stalking law ini masih lagi dalam peringkat perincian terakhir dan saranan daripada YB akan saya buat taklimat bersama dengn ahli-ahli Parlimen, YB Senator dan NGO pada minggu depan untuk kita berikan pemakluman, statistik kini dan membuat hubungan dengan semua pemegang taruh dan mereka yang terlibat," katanya.

Media Baharu