fb fb fb fb fb

Pelan komprehensif tangani jenayah rentas sempadan bakal dilaksanakan - Hamzah

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 22 Julai - Pelan komprehensif utama berhubung kawalan sempadan akan dilaksanakan bagi menangani kegiatan jenayah rentas sempadan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pelan komprehensif itu membabitkan penggunaan pelbagai kaedah dan aset sedia ada supaya isu tersebut dapat ditangani sebaik mungkin.

"Bila saya kata pelan komprehensif ini saya lakukan dengan menggunakan bermacam-macam kaedah terutamanya hendak menentukan aset-aset yang kita ada ini kita akan gabungkan seluruh negara.

(Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin)

"Kedua, kita telah umumkan bahawa kita akan ada sebuah agensi berkaitan sempadan, ketiga kita akan gunakan teknologi-teknologi yang terkini untuk kita memastikan sempadan kita ini membolehkan kita menggunakan teknologi untuk mengawal keluar masuk mereka yang ada dalam negara," katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Imigresen di Dataran Pahlawan, di sini.

Sementara itu, mengulas Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Mengenai Pemerdagangan Orang 2022 pula, Hamzah berkata penilaian terbabit dibuat secara subjektif dan turut mengambil kira pelbagai persepsi berhubung usaha Malaysia dalam menangani pemerdagangan manusia.

Malah, beliau memaklumkan, laporan itu juga dipengaruhi oleh tindakan penduduk secara menyeluruh seperti golongan majikan serta pekerja terbabit dalam persekitaran eksploitasi kerja, antara lain melakukan penderaan, menahan pasport, bekerja secara haram, tidak membayar gaji dan tidak menyediakan penginapan yang sesuai.

"KDN serta Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) komited memelihara hak mangsa pemerdagangan manusia, seterusnya memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak terbabit secara langsung mahupun yang bersubahat dalam jenayah keji itu, untuk dibawa ke muka pengadilan berdasarkan lunas perundangan sedia ada," katanya.

Media Baharu