fb fb fb fb fb

KPWKM sedia sokongan kaunseling kepada aktivis GSF

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri / BERNAMA

KUCHING, 4 Oktober – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menyediakan sokongan kaunseling kepada 23 aktivis Malaysia yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sokongan moral amat penting ketika ini bagi membantu aktivis terbabit mengatasi tekanan dan trauma yang dihadapi sepanjang misi berkenaan.

“Sebab kita tahu ada mereka mempunyai keluarga dan meninggalkan keluarga mereka, sudah tentu mereka memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Kesukarelawan dan Cakna Komuniti Yayasan Kebajikan Negara (YKN) serta peluncuran Sahabat Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) YKN, Mahasiswa Prihatin di I-CATS University College Kuching, hari ini.

Beliau turut menegaskan, Malaysia telah memainkan peranan terbaik dalam mendokong perjuangan rakyat Palestin melalui pelbagai inisiatif kemanusiaan.

“Flotilla itu juga merupakan manifestasi bahawa dunia tidak lagi dapat berdiam diri terhadap kekejaman rejim Zionis terhadap Palestin,” jelasnya.

Sementara itu, lebih 300 pelajar I-CATS menyertai program anjuran YKN yang bertujuan memupuk semangat kesukarelawan dan keprihatinan dalam kalangan mahasiswa.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD