fb fb fb fb fb

KPWKM akan teliti keperluan tutup taska, tadika untuk elak penularan HFMD

KOTA BHARU, 21 Mei - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti keperluan untuk menutup taska serta tadika untuk mengelak penularan kes jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) yang semakin membimbangkan.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata pihaknya sedang meneliti dan mengambil perhatian serius mengenai perkara itu memandangkan ia membabitkan isu keselamatan dan kesihatan kanak-kanak.

Bagaimanapun pihaknya perlu merujuk terlebih dahulu perkara berkenaan kepada agensi yang bertanggungjawab iaitu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan pelaporan statistik mengenai kes HFMD.

"Sekiranya situasi itu merbahaya memang perlu tindakan segera dan saya kira apa yang dibuat itu bukan semata-mata tindakan satu agensi sebab mengambil kira kebimbangan jangkitan itu meluas, (isu) kesihatan ini juga bukan semata - mata di bawah bidang kuasa kami, ia melibatkan juga Kementerian Kesihatan, jadi kita sedang meneliti perkara ini," kata beliau ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Raya dan Penyampaian Zakat kepada 20 orang pengayuh beca, di sini,

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup.


(Foto hiasan)

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mengarahkan premis berkaitan kanak-kanak seperti taska, tadika dan pusat jagaan di Melaka yang merekodkan lebih daripada empat kes jangkitan HFMD ditutup selama 10 hari selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pada masa sama, Siti Zailah berkata pihak kementerian juga berharap semua pihak termasuk ibu bapa, pengurusan tadika dan taska termasuk agensi-agensi berkaitan supaya sentiasa meningkatkan pemantauan untuk mengelakkan penularan HFMD lebih serius.

Ini turut merangkumi soal kebersihan premis untuk menjamin kesihatan kanak-kanak memandangkan ia menjadi keutamaan kementerian berkenaan.

Media Baharu