fb fb fb fb fb

KPT terus cemerlang, raih Anugerah Pembangunan Negara 2025

Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 12 November – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima Anugerah Pembangunan Negara 2025, pengiktirafan utama dalam Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara (SPAPN) 2025.

Pengiktirafan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya. 

Anugerah tersebut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan KPT dalam tiga ketegori, iaitu dalam pengurusan program dan projek, pelaksanaan Sistem Binaan Berindustri (IBS), serta pencapaian Outcome.

Ia turut menghargai prestasi konsisten kementerian dan mencerminkan komitmen tinggi dalam memperkukuh tatakelola serta melaksanakan penambahbaikan berterusan demi memastikan manfaat nyata kepada rakyat.

SPAPN 2025 bertemakan “Merakyatkan Pembangunan MADANI” dan dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), bertujuan mengiktiraf usaha, komitmen serta kejayaan kementerian, jabatan, agensi dan komuniti dalam aspek pengurusan program dan projek.

Penganjuran SPAPN 2025 juga dilihat sebagai refleksi kepada pencapaian Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan sebagai persediaan melonjak ke fasa pembangunan seterusnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mulai 2026. 

Program ini sekali gus menyemarakkan semangat inovasi dan kolaborasi strategik dalam kalangan agensi kerajaan bagi memacu agenda pembangunan negara, serta meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras aspirasi Malaysia MADANI.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

EZA YUSMAWATI YAACOP