SEREMBAN, 12 November – Kerajaan Negeri Sembilan terus memperkukuh sektor perindustrian berasaskan teknologi tinggi dengan pelancaran projek baharu, Life Science Park di Bandar Enstek.
Taman perindustrian tersebut dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan sektor farmaseutikal dan teknologi perubatan di negeri itu, sekali gus menarik pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pelancaran taman perindustrian berteknologi tinggi itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh ekosistem industri kesihatan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Pada 22 Disember ini, kita akan melancarkan Life Science Park, iaitu kawasan perindustrian seluas 400 ekar yang menumpukan kepada bidang farmaseutikal, perubatan, peralatan medik dan semua yang berkaitan dengan sains hayat (life science) di kawasan Ace Property, Enstek,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Negeri Sembilan, di sini, hari ini.