fb fb fb fb fb

KPT teroka potensi universiti, perkasa agenda keterjaminan makanan negara

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud (tengah) menerima Blueprint Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) daripada Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah (kiri) pada Majlis Penutup Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan (PKMK) 2025 di UPM hari ini/BERNAMA

SERDANG, 11 Jun- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) giat menjejaki setiap potensi universiti termasuk awam dan swasta, dalam memperkasa agenda pertanian dan keterjaminan makanan negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud menegaskan penglibatan aktif ahli akademik dan institut pendidikan tinggi (IPT) penting dalam merealisasikan agenda berkenaan secara mampan dan berdaya tahan.

Tambahnya, beliau turut memuji tindakan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam penghasilan "Blueprint Keterjaminan Makanan UPM", bertujuan sebagai rujukan ke arah peningkatan sumbangan kepada aspek keterjaminan makanan negara.

"Tahniah kepada UPM kerana antara cabaran utama negara ketika ini ialah bagaimana kita dapat memastikan keterjaminan makanan dalam keadaan kos semasa yang semakin mencabar. Usaha seperti ini yang melibatkan kerjasama antara pihak industri, agensi berkaitan, petani, penternak dan nelayan adalah amat penting, supaya kita dapat duduk bersama dan berfikir secara kolektif.

Gabungan antara akademia, industri, kerajaan, dan masyarakat inilah yang akan membantu kita mendepani cabaran ini dengan lebih berkesan," kata Datuk Ts. Mustapha kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui media selepas Majlis Penutup Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan (PKMK) 2025 di UPM, di sini.

Persidangan tersebut juga menghimpunkan penggubal dasar, ahli akademik, badan bukan kerajaan, usahawan, pelajar serta pemain industri dalam satu forum terbuka bagi merintis penyelesaian holistik.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata 20 universiti awam dan tujuh universiti swasta turut terlibat dalam rangkaian universiti (Nexus) keterjaminan makanan yang diterajui UPM.

"Kita telah mengadakan beberapa bengkel dan menetapkan beberapa tindakan yang ingin dilaksanakan, dengan harapan penyelidikan yang dijalankan akan berimpak tinggi, agar hasilnya pada Jun nanti dapat dimanfaatkan oleh pihak kerajaan dan juga industri," kata Datuk Profesor Dr. Ahmad Farhan.

Beliau turut mencadangkan agar kerjasama Nexus diperluaskan kepada institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta politeknik.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM