PUTRAJAYA, 11 JUN- Agenda reformasi kerajaan bukan sekadar retorik politik, sebaliknya sedang giat dilaksanakan secara tersusun dan menyeluruh.
Menerusi perkongsian di Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, reformasi undang-undang dan institusi perlu perlu dilaksanakan secara teliti dan bukan secara tergesa-gesa.
Jelas Datuk Seri Azalina, pendekatan itu selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan bahawa reformasi merupakan satu proses berfasa yang memerlukan pengamatan rapi.
"Perlu difahami bahawa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri bersama agensi-agensi di bawah seliaan saya telah berjaya mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, selain melaksanakan lebih 30 pindaan undang-undang sejak tahun 2023," katanya.
"Sebagai penggubal dasar, setiap inisiatif reformasi perlu realistik dan mampu dilaksanakan demi manfaat rakyat.
"Reformasi sistemik tidak patut dilaksanakan sekadar "indah khabar dari rupa". Janganlah seperti pepatah Melayu, "baru bertatih hendak berlari, tersembam",” katanya lagi.
Datuk Seri Azalina turut menyifatkan Kerajaan MADANI telah meletakkan asas kukuh bagi pelaksanaan reformasi, dengan kadar kemajuan yang tidak pernah dicapai oleh pentadbiran sebelum ini.
"Buktinya jelas dengan pelbagai pembaharuan serta reformasi undang-undang dan institusi yang boleh dinilai sendiri oleh masyarakat," katanya.
Dalam usaha meningkatkan ketelusan, kerajaan juga telah mewujudkan portal Peta Reformasi Institusi (PetaRI) sebuah platform digital yang memaparkan kemajuan inisiatif reformasi secara berkala.