fb fb fb fb fb

KPT sambut RMK13, komited perkasa pendidikan tinggi negara

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyatakan sokongan penuh terhadap pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkan sebagai hala tuju strategik dalam memperkukuh sektor pendidikan tinggi negara.

Menerusi kenyataan media, KPT menegaskan komitmennya untuk melaksanakan peranan secara menyeluruh dalam menjayakan matlamat RMK13, khususnya dalam membangunkan modal insan holistik serta memperkukuh sistem pendidikan tinggi berteraskan nilai-nilai Malaysia MADANI.

“Pendidikan tinggi bukan sahaja pemacu ekonomi, tetapi juga tunjang pembinaan masyarakat yang berilmu dan beretika tinggi,” menurut kenyataan tersebut.

Kementerian turut menekankan kepentingan beberapa inisiatif utama yang digariskan dalam RMK13, antaranya pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), digitalisasi pembelajaran, pengantarabangsaan universiti, serta pembangunan penyelidikan berimpak tinggi.

Sehubungan itu, KPT akan mempergiat usaha melalui beberapa langkah, antaranya memperkukuh tadbir urus institusi, merasionalisasi fungsi dan peranan institusi pendidikan tinggi, meningkatkan keberhasilan pendidikan serta memantapkan kompetensi warga pendidik.

Inisiatif lain yang turut disenaraikan adalah meningkatkan pelaburan dalam sektor pendidikan, memperkasa pembelajaran sepanjang hayat; dan memperkukuh ekosistem TVET.

“Kami akan terus melaksanakan dasar dan inisiatif berpaksikan nilai murni dan keperluan rakyat, selari dengan teras Malaysia MADANI,” kata kenyataan itu lagi.

KPT turut menyeru agar semua pihak termasuk institusi pengajian tinggi, agensi, industri dan masyarakat berganding bahu bagi merealisasikan aspirasi RMK13 demi masa depan Malaysia yang lebih progresif dan inklusif.

AZRUL FAIZAL JUSOH