KOTA BHARU, 31 Julai - Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mampu merapatkan jurang ekonomi antara wilayah dan mengukuhkan pembangunan desa.
Kesediaan kerajaan meneruskan pelbagai inisiatif, program dan projek pembangunan di wilayah dikenalpasti memperlihat kesungguhan untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara seimbang.
Ia juga disifatkan sebagai satu anjakan penting dalam merapatkan ketidakseimbangan ekonomi wilayah yang selama ini menjadi cabaran utama negara dalam mencapai pembangunan mampan.
" Memang langkah yang tepat dan selari dengan matlamat untuk ke arah pembangunan negara atau untuk capai KDNK ataupun GDP yang tinggi pada masa hadapan, perancangan telah ada, peruntukan juga ada, cuma pelaksanaan diharap secara telus supaya tiada bocor dan rakyat dapat merasa kebaikan yang dirancang", kata Pensyarah Kanan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan, Dr Nurnadia Nordin.
Pengumuman pewujudan hab pengeluaran makanan negara melibatkan negeri - negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang yang bersepadu dan berdaya saing juga amat dialukan, sekali gus menjana peluang ekonomi baharu khususnya kepada penduduk desa.