PUTRAJAYA, 5 Februari - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) terus bekerja keras memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terpelihara seterusnya membantu pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan lain.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata usaha akan terus dipergiat walaupun ketika ini terdapat sekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah terhadap minyak sawit negara.
Menerusi satu kenyataan, Datuk Zuraida berkata, kementerian akan terus berusaha memperluas pasaran minyak sawit ke pasaran luar negara khususnya di Asia Barat seperti Turki dan Arab Saudi.
Terdapat peningkatan eksport minyak sawit negara ke Turki dengan jumlah 703,588 tan pada 2021 selain komitmen Arab Saudi untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia kepada 500,000 tan dengan nilai dianggarkan mencecah RM1.5 bilion.
Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani dengan beberapa syarikat di Arab Saudi, semasa lawatannya baru-baru ini.
KPPK turut menjalin kerjasama dalam tiga bidang termasuk pembinaan terminal tangki penyimpanan di Jeddah, menjadikan Arab Saudi sebagai hab eksport semula minyak sawit Malaysia.
Selain itu, beliau berkata, buat kali pertama dalam sejarah industri sawit negara, harga minyak sawit mentah mencecah harga tertinggi sepanjang masa iaitu RM5,750 satu tan selama dua hari berturut-turut pada 3 dan 4 Februari lalu.