fb fb fb fb fb

Bekalan ayam dan telur stabil akhir Februari



KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Bekalan ayam dan telur ayam gred A, B dan C dijangka kembali stabil akhir Februari ini.

Kekurangan kedua-dua bekalan itu selain dari masalah logistik, ia juga disebabkan pembelian yang meningkat sebelum, semasa dan selepas musim perayaan Tahun Baru Cina.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato’ Rosol Wahid berkata, bermula minggu ini pengusaha perlu memaklumkan stok bekalan secara mingguan kepada pihaknya.

Arahan terbaru ini bagi mempastikan bekalan kedua-dua keperluan ini sentiasa mencukupi.

"Makna kita boleh pantau untuk minggu ni, minggu depan dah boleh agak kekurangan dan sebagainya. Ertinya kalau kita tahu apa yang akan berlaku minggu depan, stok hari ni mungkin kita boleh ambil pilihan untuk mengatasi masalah tersebut. Begitu juga dengan ayam yang mana bekalan tersebut dimaklumkan kepada kita secara mingguan. Hari ini kita maklum secara berkala, tapi hari ini arahan terbaru pengusaha peladang ini perlu maklum kepada kita stok secara mingguan," kata Rosol ketika hadir pada Program Jualan keluarga Malaysia di Kuala Ping di Hulu Terengganu.

Sementara itu, hingga 3 Februari lalu 91 peratus kesediaan bekalan telur ayam dalam pasaran negara direkodkan dan mampu memenuhi keperluan.

Manakala bekalan ayam mencatatkan 57 juta ekor ayam pada Januari lalu dan dijangka kembali meningkat kepada lebih 60 juta ekor ayam bulan ini.

 

Media Baharu