SINGAPURA, 12 Jun – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain telah dikurniakan Darjah Utama Bakti Cemerlang (Distinguished Service Order) oleh Presiden Republik Singapura, Tharman Shanmugaratnam dalam satu istiadat yang berlangsung di The Istana, Orchard Road pada Rabu, ketika lawatan rasminya ke republik itu.
Pengurniaan darjah itu merupakan antara penghormatan tertinggi Kerajaan Singapura kepada tokoh luar negara yang telah menunjukkan komitmen luar biasa.
Tan Sri Razarudin dianugerahkan atas pencapaian cemerlang dalam memperkukuh kerjasama keselamatan serta hubungan dua hala antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Singapura (SPF).
Dalam rangka lawatan itu juga, Tan Sri Razarudin telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pemangku Pesuruhjaya Polis Singapura, DCP Lian Ghim Hua di Ibu Pejabat SPF, New Phoenix Park.
Beliau bersama isteri yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis, Puan Sri Datuk Zainah Othman turut menghadiri Majlis Makan Malam Rasmi yang berlangsung di Senior Police Officers’ Mess yang dihadiri para pegawai kanan SPF.
Mengakhiri lawatan rasmi ke negara tersebut, Tan Sri Razarudin telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura, H.E. Mr. Lawrence Wong yang berlangsung di The Istana, Orchard Road, pagi Khamis.##