TAIPING, 13 Julai-Kementerian Perpaduan Negara komited ke arah mendigitalisasikan perkhidmatan di kesemua fasiliti bawah seliaannya.
Usaha tersebut selaras untuk memberi perkhidmatan yang lebih berkualiti dan mudah untuk diakses semua pihak.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud berkata, penambahbaikan itu akan dilakukan secara berfasa mulai tahun hadapan melibatkan Muzium, Arkib dan Perpustakaan seluruh negara.
"Kalau boleh pada masa depan budak-budak di rumah boleh tengok artifak di muzium.
"Jadi kita nak digitalisasikan perkhidmatan yang disediakan oleh Muzium.
"Sebenarnya,muzium sudah mula pendigitalan cuma untuk lebih agresif. Kalau dapat pada 2025 kita mulakan secara berfasa dan muzium akan pilih apa perkhidmatan akan didigitalkan", katanya pada sidang media Program Semarak@Muzium, 'Pameran Sundang: Seni dan Kuasa' di Muzium Taiping di sini.
Program berkenaan diadakan bertujuan mengembalikan nostalgia sejarah silam dan warisan budaya tradisional untuk pengetahuan masyarakat agar dapat menghargai jati diri dan identiti bangsa.
Diadakan dengan Kerjasama Yayasan Al-Amin, ia menghimpunkan 211 persenjataan jenis sundang yang wujud di Semenanjung Malaysia dan Sulawesi.