KUALA NERUS, 23 Julai - Kementerian Pendidikan (KPM) menyokong dan bersedia kearah perlaksanaan sistem permohonan tunggal bagi penempatan pelajar ke sekolah khusus seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mulai tahun depan.
Pelaksanaan sistem tersebut adalah langkah terbaik untuk memastikan pelajar luar bandar dan golongan B40 tidak tercicir daripada peluang pendidikan berkualiti.
Menurut Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Radin Muhd Imaduddin, KPM bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) komited untuk memastikan pelaksanaan sistem tunggal secara dalam talian tidak akan menyukarkan pelajar dan ibu bapa dari kawasan pedalaman.
Menurut Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Radin Muhd Imaduddin, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan digerakkan sepenuhnya bagi menyokong pelaksanaan di peringkat akar umbi.
"Insya-Allah, saya percaya ini merupakan satu halatuju yang baik. Saya juga melihat ini sebagai kali pertama wujudnya kerjasama erat antara MARA, MRSM dan SBP di bawah Kementerian Pendidikan.
"Inilah semangat MADANI berteraskan kerjasama, kolaborasi dan pendekatan menyeluruh di peringkat nasional," katanya ketika ditemui RTM selepas menjadi panel dalam program wacana round table discussion, RTD Malaysia Madani Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelaksanaan sistem permohonan tunggal bagi kemasukan ke SBP dan MRSM, melalui platform dalam talian, sekali gus mengelakkan pertindihan tawaran serta memaksimumkan pengisian tempat.