fb fb fb fb fb

KPM sedia hadapi Monsun Timur Laut - Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

PETALING JAYA, 6 November - Kementerian Pendidikan (KPM) sudahpun membuat persediaan rapi mendepani kesan Monsun Timur Laut (MTL), terutama terhadap pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 5 Disember depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata KPM persiapan awal termasuk kemungkinan pelajar perlu menduduki SPM di pusat pemindahan sementara (PPS) jika sekolah atau kawasan kediaman mereka terlibat banjir.

"KPM turut mengeluarkan surat peringatan menghadapi bencana banjir serta pasukan petugas menghadapi banjir peringkat kementerian. KPM sentiasa cakna menghadapi sebarang kemungkinan di setiap institusi pendidikan.

"Dan program hari ini merupakan kesiapsiagaan KPM menghadapi sebarang kemungkinan daripada MTL termasuk keselamatan dan trauma," kata Fadhlina, ketika program pelancaran kesiapsiagaan menghadapi MTL peringkat KPM di Sekolah kebangsaan Taman Dato' Harun (2), di sini.

Jelasnya kerjasama semua pihak penting, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jawatankuasa Bencana, Institut Pendidikan Guru (IPG), Sukarelawan Madani, pasukan khidmat kaunseling dan Yayasan Didik Negara.

Fadhlina berkata, lebih 5,000 buah sekolah di seluruh negara dijadikan PPS dan tujuh atau lapan daripadanya akan diwartakan sebagai pusat pemindahan kekal.

"Setiap sekolah yang berstatus PPS perlu diberi tumpuan untuk dinaik taraf menghadapi banjir.  Antara persiapan awal yang dilakukan ialah menyediakan peralatan kerusi, meja yang diperbuat daripada plastik untuk sekolah-sekolah yang mungkin terbabit banjir ," katanya.

TETITIA YUSOFF