fb fb fb fb fb

KPM rancang luas Pusat PERMATA Kurnia di seluruh negara

Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR, 3 April- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang merancang untuk memperluas Pusat PERMATA Kurnia ke seluruh negara kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Perkara itu bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak autisme menerima intervensi dan pendidikan awal.

Cadangan peluasan itu bagi memenuhi peningkatan permintaan ibu bapa untuk mendapatkan bimbingan dalam mengurus kanak-kanak berkenaan.

"KPM juga telah mengenal pasti lokasi yang strategik bagi pelaksanaan projek peluasan ini di setiap negeri di seluruh negara.

"Pada masa yang sama mewujudkan kerjasama antara pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dari setiap negeri bagi memastikan usaha ini berjalan lancar serta mencapai objektifnya," katanya ketika menjawab soalan daripada Senator Datuk Lim Pay Hen di Dewan Negara.

Setakat ini, dua Pusat PERMATA Kurnia di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah diwujudkan manakala dua buah projek masing-masing di Kedah dan Perlis telah diluluskan untuk pembinaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI