fb fb fb fb fb

Selangor meterai usahasama dengan DOSM

Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM, 3 April- Selangor memeterai usahasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melibatkan perkongsian data rakyat negeri itu menerusi sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkongsian data itu memlibatkan 3.7 juta rakyat Selangor yang berdaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah). Ia termasuk 66,216 penerima bantuan negeri.

Amirudin berkata, insiatif itu membuktikan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam memastikan tiada penduduk tercicir sekiranya kerajaan persekutuan memperkenal subsidi bersasar.

"Kerajaan Negeri sedar, data yang tepat dan betul adalah diperlukan bagi pembangunan dasar yang menjamin kemampanan, kelestarian dan kemakmuran berterusan negara.

"Justeru itu, komitmen Kerajaan Negeri ini diteruskan lagi dengan kesediaan negeri untuk berkongsi dan menzahirkan data kepada Kerajaan Pusat menerusi DOSM.

"Data yang dikumpulkan diperolehi daripada Aplikasi SELangkah. Data ini merangkumi maklumat penerima skim bantuan dari Kerajaan Negeri iaitu BINGKAS, ASAS, MENTAL SIHAT, SARING dan MAMAKERJA," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara DOSM dan SELangkah Ventures Sdn Bhd di bangunan pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini.

Dalam majlis itu DOSM diwakili Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, manakala SELangkah diwakili Ketua Pegawai Informasinya Dr Helmi Zakariah.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata Selangor menjadi negeri pertama memeterai MoU dengan DOSM bagi melengkapkan data sistem PADU yang diperkenal kerajaan persekutuan pada 2 Januari.

Untuk rekod, seramai 1.89 juta penduduk Selangor berumur 18 tahun ke atas atau 44.5 peratus berjaya mengemas kini maklumat dalam sistem berkenaan yang ditutup pada 31 Mac lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI