fb fb fb fb fb

KPM peruntuk RM900 juta selenggara aset tak alih

Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 27 Disember- Sebanyak RM900 juta diperuntuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tahun ini bagi tujuan penyelenggaraan aset tak alih yang terdiri daripada aset bangunan, tanah dan infrastruktur di semua jenis sekolah dan institusi pendidikan KPM.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata daripada jumlah tersebut, RM30.05 juta telah disalur kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bagi tujuan penyelenggaraan di 791 sekolah kerajaan di seluruh negeri berkenaan.

Katanya, pihaknya secara berterusan akan memastikan kemudahan infrastruktur sekolah berada dalam keadaan baik serta kondusif bagi menjamin keselamatan dan keselesaan warga sekolah.

Ini termasuk menaik taraf semula bangunan daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah, Changkat Jering, Perak serta membina Kompleks Pendidikan Khas Taiping yang mengandungi SK Pendidikan Khas

"Penyaluran peruntukan ini adalah berdasarkan keperluan mengikut permohonan dan susunan keutamaan yang dikemukakan kepada KPM oleh sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah atau JPN dan bahagian. KPM akan memastikan peruntukan penyelenggaraan ini diagihkan kepada semua sekolah termasuk sekolah di Parlimen Bukit Gantang," kata Fadhlina ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di Dewan Rakyat di sini.

Sepanjang tahun lalu, KPM telah memperuntukkan sebanyak RM228,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan di 12 buah sekolah di Parlimen Bukit Gantang.

Selain turut menyalurkan peruntukan khas sebanyak RM2.24 juta bagi kerja menaik taraf dan penyelenggaraan kecil institusi pendidikan bagi 32 buah sekolah di kawasan Parlimen Bukit Gantang.

Sementara itu, Sidang Dewan Rakyat hari ini dimulakan dengan lafaz Ikrar Rukun Negara.

Bacaan Ikrar Rukun Negara itu diketuai Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

Dewan seterusnya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia Rabu lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata pemergian pemimpin politik berpengaruh itu merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada rakyat Sarawak tetapi juga negara secara keseluruhannya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM