fb fb fb fb fb

Aspek kos sara hidup, dipertimbang dalam setiap dasar dan program - NACCOL

Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 27 Februari- Kerajaan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan memastikan setiap penggubalan dasar dan program yang dilaksana melalui kementerian serta agensi, akan memberikan pertimbangan terhadap elemen kos sara hidup. 

Jelas Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, strategi dan pendekatan berbentuk intervensi dan mitigasi juga dilaksanakan dalam menangani pelbagai isu dan kesan berkaitan kos sara hidup termasuk menggalakkan penglibatan pelbagai pemegang taruh.

"Selain daripada program yang dirancang melalui pelbagai kementerian, kita juga melihat kepada aspek penguatkuasaan termasuklah elemen kartel dalam pakatan harga, pakatan pasaran, pakatan pengeluaran dan juga tipuan bidaan.

"Selain strategi tersebut, kita juga mengalu-alukan penyertaan syor semua pihak melalui pendekatan 'whole of nation' untuk memastikan kita boleh memberi impak bernilai dan bermakna," kata Armizan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu. 

Sementara itu, pelbagai insentif dan inisiatif dilaksana kerajaan dalam usaha menggerakkan agenda menangani kos sara hidup rakyat. 

"Belanjawan 2024 telah memperuntukkan sebanyak RM58.1 billion untuk tujuan subsidi, insentif dan bantuan yang terkait dengan sara hidup rakyat. Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan melalui peruntukan tersebut tidak termasuk yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak lain seperti badan korporat melalui CSR dan NGO, serta kerajaan negeri.

Senarai inisiatif keseluruhan akan dipaparkan dalam portal Ihsan Madani pada 20 Mac 2024," tambah Datuk Armizan.

Katanya, pelbagai pendekatan akan digerakkan menerusi NACCOL merentasi kementerian dan agensi serta melibatkan wakil kerajaan-kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan industri berkaitan agenda kos sara hidup rakyat. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM