KOTA BHARU 4 September- Sebanyak 200 sekolah berasrama yang dikenal pasti akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dalam masa terdekat.
Ia membabitkan peruntukan RM3 juta.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata pemasangan CCTV berkenaan adalah antara langkah proaktif ke arah meningkatkan aspek keselamatan dalam kalangan pelajar.
Khususnya di asrama.
Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memberi perhatian kes kemalangan dilaporkan di asrama dan meningkatkan kualiti keselamatan.
"Dengan dua tiga kes yang berlaku ini, pihak kementerian telah mengumumkan peruntukan RM3 juta serta merta untuk melengkapkan asrama terpilih buat sementara ini dengan CCTV.
"Ia akan dilaksanakan secepat mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia ke-63 di Kota Bharu, hari ini.
Menurut Mohd Azam, sekolah asrama berkenaan dipilih berdasarkan faktor tertentu, termasuk jumlah pelajar dan sebagainya.
Beliau berkata pemasangan akan dilakukan segera selepas mendapat khidmat nasihat pakar berhubung lokasi bersesuaian dilengkapkan CCTV.
Pemasangannya tidak boleh dibuat sesuka hati kerana perlu mematuhi akta memandangkan lokasi pemasangan membabitkan asrama pelajar.