fb fb fb fb fb

Program PERANTIS, RM 5 juta diperuntuk - KPWKM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri

KUALA LUMPUR, 4 September- Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) diteruskan tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia susulan kejayaan penganjuran tahun lalu, selain sejajar untuk mencapai sasaran 30 peratus wanita dalam pembuat keputusan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Kejayaan PERANTIS pada tahun 2024 dapat dilihat apabila seramai 1,247 peserta dibimbing oleh 25 tokoh dalam 10 bidang terpilih. Justeru, program ini diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan RM5 juta dengan sasaran penglibatan seramai 100 orang tokoh wanita dan 5,000 peserta.

Dari segi pencapaian 30 peratus golongan wanita dalam pembuat keputusan, sektor awam telah berjaya mencapainya, namun sektor swasta dilihat masih mencabar. Melalui PERANTIS, kita juga mahu menggalakkan lebih ramai wanita terlibat dalam politik dengan sokongan parti-parti politik," kata Datuk Seri Nancy di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak empat siri Program Inspirasi Wanita telah dilaksana melibatkan 1,813 peserta, setakat 8 Ogos lalu.

Ia program menfokuskan perkongsian ilmu dan pengalaman daripada tokoh-tokoh wanita dalam bidang ekonomi, kesejahteraan dan keselamatan.

Beliau menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali mengenai inisiatif kementerian bagi meningkatkan kepimpinan wanita dalam pembuat keputusan di organisasi.

Program PERANTIS yang diperkenalkan pada tahun lalu oleh KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita merupakan platform membangunkan bakat kepimpinan wanita dalam pelbagai bidang menerusi bimbingan tokoh wanita yang telah berjaya.

Ia merangkumi 10 bidang utama iaitu kepimpinan, politik, ekonomi, sosial, teknologi, perundangan, keselamatan, kesejahteraan, pendidikan dan kesihatan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM