SERDANG, 4 September- Tiada sentuhan fizikal berlaku antara jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin ketika sesi latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor, 28 Julai lalu.
Justeru, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, semua pihak perlu melihat kepada fakta kes sebelum menimbulkan pelbagai spekulasi atau membuat kesimpulan berhubung kematian Allahyarham.
“Pada 28 haribulan itu, tiada sebarang sentuhan fizikal oleh jurulatih ATM. Latihan dijalankan di padang terbuka dengan disaksikan ramai pelatih lain.
Jika ada sebarang kekasaran luar biasa, sudah tentu ada pihak yang merakam atau melaporkan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.
Menurut beliau, insiden yang berlaku hanyalah pelatih tidak sedarkan diri ketika sesi latihan sebelum dibawa ke hospital.
Beliau turut menjelaskan siasatan dalaman ATM dimulakan pada 29 Julai menerusi soal siasat terhadap jurulatih serta lebih 30 kadet yang berada di lokasi.
Syamsul Haris, 22, dilaporkan rebah ketika menjalani latihan kawad sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Pada 19 Ogos lalu, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, memohon agar kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan serta mencadangkan supaya prosiding inkues dimulakan bagi menyiasat punca kematian.
Susulan itu, pada 30 Ogos, bedah siasat kedua terhadap jasad Syamsul Haris dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).