
KUALA LUMPUR, 23 April – Usaha memperkukuh budaya membaca dalam kalangan rakyat terus dipergiat apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan pelbagai inisiatif sempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Cipta Sedunia 2026 di ibu negara hari ini.
- Langkah ke arah pengisytiharan Malaysia sebagai "Kota Baca" dengan Kuala Lumpur sebagai peneraju.
- Tiga fokus utama: semarakkan budaya membaca generasi muda, lindungi pengkarya, dan teruskan inisiatif ilmu serta bahasa.
- Penguasaan pelbagai bahasa diberi penekanan termasuk Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
- Papan Pemuka Peta Membaca dilancar untuk meneliti tabiat pembacaan negeri dan bentuk dasar pembudayaan.
Acara yang berlangsung di Kuala Lumpur ini menjadi langkah awal ke arah pengisytiharan Malaysia sebagai ‘Kota Baca’ dengan ibu negara sebagai peneraju utama inisiatif tersebut.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penganjuran program ini bertujuan menyemarakkan budaya membaca, khususnya dalam kalangan generasi muda, selain menghargai sumbangan penulis dan pengkarya tempatan.
“Bagi menyemarakkan pertama adalah soal budaya membaca, penekanan itu sangat penting kepada generasi muda. Kedua adalah melindungi penulis dan pengkarya yang telah mencurahkan idea dan tenaga untuk menghasilkan karya-karya yang sangat penting untuk negara dan bangsa.
“Yang ketiga adalah inisiatif-inisiatif berterusan yang harus kita terus beri perhatian untuk terus memastikan bahawa negara ini dibina asasnya adalah sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri iaitu ilmu dan bahasa,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Perpustakaan Kuala Lumpur, hari ini.
Pihak kementerian turut menetapkan penguasaan bahasa sebagai sasaran penting merangkumi pelbagai bahasa.
“Anak-anak kita bukan sahaja harus menguasai bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, tapi juga bahasa-bahasa lain termasuk bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil,” jelasnya.
Pelancaran Papan Pemuka Peta Membaca turut menjadi antara inisiatif baharu yang membolehkan kerajaan meneliti tabiat pembacaan rakyat di setiap negeri, termasuk jenis bahan yang dibaca dan jumlah pembelian buku.
Langkah ini dijangka membantu merangka dasar yang lebih berkesan dalam membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan bahawa usaha membina budaya membaca perlu bermula dari rumah dengan sokongan keluarga sebagai asas utama sebelum diperluaskan ke peringkat masyarakat.
Justeru, inisiatif menyeluruh ini diharap mampu melahirkan masyarakat berilmu dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pembaca yang disegani di peringkat global.