fb fb fb fb fb

KPM komited membudaya bidang STEM

FOTO BERNAMA

SEPANG, 18 Oktober- Usaha membudayakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan terus diperkasa bagi memastikan ia relevan dan lestari.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata usaha itu penting bagi meyakinkan ibu bapa dan pemegang taruh bahawa bidang itu mampu menjadi kerjaya pada masa hadapan.

Selain itu, ia membantu meleraikan kegusaran pelajar terhadap hala tuju bidang berkenaan, untuk memilih laluan dalam melanjutkan pengajian.

"Apa yang telah diangkat dalam belanjawan adalah sangat penting. RM100 juta diumumkan Perdana Menteri, bukan saja bukti komitmen kerajaan MADANI dalam STEM tetapi berkait rapat dengan memastikan infrastruktur dan fasiliti. Pembudayaan STEM itu benar-benar wujud dan dirasai komuniti. pembudayaan stem dalam konteks akar rumput supaya anak-anak faham, merasakan mereka diperlukan dalam pastikan agenda STEM berjaya."

"Kita ada isu yang perlu ditingkatkan usahanya iaitu bagaimana cara untuk kita meyakinkan ibu bapa. Ibu bapa ialah watak penting dalam membantu pilihan kerjaya masa depan anak anak. Kita perlukan sokongan dan sesi bersama ibu bapa supaya pemilihan STEM dijadikan keutamaan," kata Fadhlina di Sepang, hari ini.


(Menteri KPM, Fadhlina Sidek)

Tambahnya, guru-guru juga perlu memainkan peranan mendidik murid-murid dan mempromosi bidang STEM dengan lebih meluas.

Langkah itu seiring hasrat kerajaan memperkasa bidang STEM dalam negara, yang turut terzahir menerusi Belanjawan 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian dalam menetapkan sasaran dan langkah bagi meningkatkan penglibatan pelajar sekolah.

Fadhlina berucap pada Majlis Penganugerahan Duta Guru di Sepang, Selangor.

Menerusi majlis itu, 253 guru diraikan daripada kohort ketiga Program Duta Guru (PDG).

Penganugerahan sebagai duta guru menobatkan guru-guru terlibat sebagai pemangkin pendidikan STEM di sekolah menengah, terutama sekolah yang majoriti pelajarnya daripada keluarga B40.

Media Baharu