SEREMBAN, 18 Oktober- Kerajaan Negeri Sembilan telah memohon RM20 juta daripada kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2024 bagi memperkukuh projek keterjaminan makanan di negeri itu.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, peruntukan itu bagi membangunkan industri pertanian, penternakan dan perikanan dalam memastikan keterjaminan makanan buat rakyat.
"Ini akan memberi satu impak yang baik, dapat memastikan pembangunan tanah terbiar, peningkatan sumber perikanan dan dapat membantu penternak, petani serta nelayan menerusi permohonan yang kita mohon tempoh hari.
"Ada beberapa perkara lain juga yang kita minta antaranya berkaitan sekolah, tadika, jalan baharu," kata Aminuddin kepada pemberita dalam sidang media Pasca Mesyuarat Mingguan Exco Di Wisma Negeri, di sini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan sebanyak RM400 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program pengukuhan keterjaminan makanan.
Langkah itu termasuk RM150,000 untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan.
(FOTO BERNAMA)