KUALA LUMPUR, 30 Mac - Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa komited memastikan pengetahuan guru diperkasakan ke arah melahirkan pelajar yang berdaya saing, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Sehubungan itu, latihan dan kursus yang dirangka mengambil kira aspek pembangunan teknologi seiring perkembangan semasa.
"KPM sedar dalam konteks pembangunan teknologi begitu pesat maka guru kita disediakan kursus berkaitan bagi membolehkan mereka sentiasa cakna bagi memahami keadaan di luar sana dan membuat persediaan yang terbaik.
"Pastikan anak-anak didik mereka mendapat ilmu yangg terkini dan mampu bersaing pada masa hadapan apabila keluar daripada sistem pendidikan kita," kata Radzi dalam sesi soal jawab di Dewan Negara.
(Gambar fail)
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Nelson Renganathan yang ingin tahu usaha KPM dalam memastikan pelajar mendapat pengetahuan yang terkini khususnya dalam bidang pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Bagi menyokong pemerkasaan elemen STEM dalam pelajar, KPM turut melaksanakan konsep Sekolahku Sejahtera yang lebih menggalakkan murid meneroka dan menguasai ilmu berkenaan.