fb fb fb fb fb

Daerah Jelebu dibangunkan sebagai daerah biodiversiti

JELEBU, 30 Mac- Pembangunan Daerah Jelebu dengan jolokan Daerah Biodiversiti akan fokus kepada aktiviti pelancongan melalui eksploitasi sumber alam.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ke arah itu 25 strategi pembangunan yang disokong 108 inisiatif dirangka melalui Rancangan Tempatan Daerah Jelebu.

Ujarnya, pembangunan yang dirancang bakal menerapkan elemen perbandaran ke penempatan desa dengan membangunkan daerah pelancongan sebagai teras.

"Oleh yang demikian, imej dan identiti daerah ini akan difokus melalui pelaksanaan yang melibatkan 10 projek Quick Win, 12 projek strategik, 35 projek utama dan 51 projek sokongan yang boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri dan daerah.

Pelaksanaan projek yang telah dicadangkan akan ditumpukan di kawasan yang telah dikenal pasti seperti di kawasan keutamaan pembangunan, kawasan biodiversiti, pengekalan dan pemeliharaan serta kawasan ekonomi dan pelaburan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Jelebu 2035 di Jelebu.

Antara projek utama telah dikenal pasti termasuk Cadangan Taman Industri Halal di Simpang Pertang, Kenaboi World Biodiversity Centre di Taman Negeri Kenaboi, Taman Kekal Pengeluaran serta Jelebu Best Food Spot.


(Datuk Seri Aminuddin Harun pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam
Draf Rancangan Tempatan Daerah Jelebu 2035 di Jelebu)

Media Baharu