fb fb fb fb fb

KPM komited atasi isu kekurangan guru di sekolah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 November- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian isu kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta dakwaan kesilapan data rasmi KPM seperti yang dilaporkan oleh media.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan berkata isu itu ditangani pihaknya menerusi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk kaedah lantikan Contract of Service (COS), Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) dan PISMP.

Keperluan guru baharu sekolah rendah direncana berdasarkan kepada kekosongan perjawatan mengikut opsyen serta guru masuk dan keluar daripada sistem mengikut opsyen keluaran latihan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Pengambilan guru melalui PISMP dilakukan secara berterusan bagi mengisi kekosongan di semua jenis sekolah melibatkan semua opsyen mata pelajaran termasuk Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

"Isu kekurangan guru adalah isu yang sedang berlaku di semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), SJKC dan SJKT dan ia bersifat sementara.

Isu tersebut telah dibincangkan dalam beberapa sesi libat urus hala tuju pendidikan bersama SJKC dan SJKT sepanjang tahun ini," kata kenyataan itu.

Menurutnya, KPM sentiasa prihatin mengenai perkara yang dibangkitkan dan memastikan kebimbangan setiap pemegang taruh ditangani dengan wajar.

Pihak kementerian giat bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memastikan isu kekurangan guru di semua jenis sekolah dapat diatasi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM