fb fb fb fb fb

KPM kenal pasti aspek baharu bagi perbaiki kedudukan negara di PISA

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Mac -KPM mengenal pasti beberapa aspek baharu yang perlu ditambah baik dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan negara pada Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) susulan penurunan kedudukan negara pada 2022.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, antara aspek baharu yang bakal ditambah baik ialah menyemak dan menilai kandungan kurikulum kebangsaan selain menggalakkan penggunaan peranti digital dalam pembelajaran.

"Penambahbaikan juga akan dilakukan dari sudut menggalakkan penggunaan peranti digital dalam pembelajaran, meneliti semula syarat agihan bantuan yang memberi fokus kepada murid sosioekonomi rendah, meneliti semula agihan sumber secara optimum merangkumi guru, peranti, infrastruktur, bahan sumber dan sebagainya", kata Kah Woh ketika menjawab soalan yang dibangkitkan wakil Padang Terap Tuan Nurul Amin Hamid yang ingin mengetahui apakah tindakan yang diambil KPM bagi mengatasi kemerosotan prestasi Malaysia dalam PISA 2022 bagi skor OECD di Dewan Negara hari ini.

PISA merupakan kajian pentaksiran antarabangsa yang mengukur pencapaian pelajar berumur 15 tahun dalam tiga domain literasi serta program pentaksiran dan kajian perbandingan anjuran OECD.

Bagi Literasi Bacaan sebanyak 55 negara mencatatkan penurunan dalam mata skor dan 17 negara menunjukkan peningkatan dalam mata skor.

Dalam konteks Malaysia, pencapaian negara menunjukkan trend yang meningkat sejak penyertaan pada pusingan PISA 2009.

Namun, pencapaian berkenaan merosot pada pusingan kedua PISA 2022.

Sebanyak lapan negara ASEAN mengambil bahagian dalam kajian PISA 2022 daripada jumlah keseluruhan 81 buah negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD