KUALA LUMPUR, 17 September- Langkah segera diambil Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan keselamatan warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Sabah, susulan kejadian tanah runtuh.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, walaupun tiada kecederaan dilaporkan, arahan pengosongan serta-merta bangunan kuarters berhampiran kawasan runtuhan telah dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurut beliau, beberapa tindakan segera turut dilaksanakan termasuk merobohkan blok bangunan terjejas bagi tujuan pembinaan semula.
Selain, menyewa premis luar berdekatan untuk memastikan kelancaran aktiviti akademik, serta membina semula tangki air yang rosak.
“Saya mengambil perhatian serius kejadian tanah runtuh di IPG Kampus Gaya.
Walaupun tiada kecederaan yang dilaporkan, saya mahu langkah proaktif diambil bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga IPG Kampus Gaya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas keprihatinan dan lawatan beliau ke kampus berkenaan hari ini.