ALOR SETAR, 13 Julai -Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan sesi pembelajaran adik Putri Qisya Nur Izzati, 12 tahun yang bergelar yatim piatu selepas ibu bapa dan empat orang adiknya terkorban dalam nahas di Sungai Korok, Jerlun, Kedah, minggu lalu tidak terjejas.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan mengambil tanggungjawab penuh terhadap kebajikan Putri Qisya termasuk menyediakan khidmat kaunseling.
Menurut Fadhlina, beliau telah mengarahkan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru, Alor Setar dan guru kelas untuk memastikan psiko sosial dan emosi Putri Qisya diberi keutamaan.
Katanya, Putri Qisya diberi cuti sehingga emosinya benar-benar pulih dan bersedia untuk kembali ke sekolah.
"Dimaklumkan beliau (Putri Qisya) sangat rapat dengan guru kelasnya. Jadi saya minta guru kelas untuk memantau keadaan psiko, emosi anak ini sepanjang beliau meneruskan pengajian di sekolah ni. Jadi kita doakan semoga beliau diberikan kekuatan.
"Saya ucapkan terima kasih kepada keluarga khususnya ibu saudara dan bapa saudara beliau yang mengambil alih tanggungjawab menjaga beliau kini. Dan mudah-mudahan Amanah ibu bapanya khususnya untuk melihat adik Qisya berjaya dalam Pendidikan ni dapat kita tunaikan,"katanya.
Fadhlina bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Bayaran Tuntutan Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia berjumlah RM16,500 kepada Putri Qisya Nur Izzati selaku waris kepada tiga adiknya yang terkorban dalam kejadian tersebut di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru, di sini.
Selain itu, Fadhlina turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Didik Negara dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
Dalam kejadian 7 Julai lalu, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, bersama isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, ditemukan maut bersama empat anak mereka apabila kereta dinaiki terbabas ke dalam Sungai Korok, iaitu dua hari selepas mereka dilaporkan hilang.
Empat anak mereka yang turut terkorban ialah Putra Rayyan Nur, 9; Hawa Adriana Nur, 8; Annayla Humaira Nur, 7; dan Tuah Haydar yang berusia enam bulan.
Kejadian tragis itu menyebabkan Putri Qisya Nur Izzati yang tidak berada bersama keluarganya ketika insiden berlaku, bergelar yatim piatu dan kini tinggal bersama ibu saudaranya di Taman Sri Aman, Jitra.