fb fb fb fb fb

Tercampak ke laut, seorang dikhuatiri lemas selepas kemalangan motosikal

FOTO HIASAN

JOHOR BAHRU, 13 Julai – Seorang individu dikhuatiri lemas selepas dipercayai tercampak ke dalam saluran air laut susulan kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Bazar Karat, berhampiran Pos Malaysia, malam tadi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 10.49 malam, sebelum jentera pertama tiba enam minit kemudian.

"Sebaik Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah motosikal, dipercayai tercampak ke dalam sungai," menurut kenyataan itu.

Seorang mangsa disyaki terjatuh ke dalam saluran air laut, manakala tiga lagi mangsa telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

Operasi pencarian dijalankan sekitar lokasi kejadian meliputi kawasan seluas 30 meter, termasuk selaman sedalam 12 kaki sebanyak tiga kali, namun mangsa masih belum ditemukan.

Sebuah motosikal berjaya dibawa naik ke darat sebelum operasi ditamatkan pada 1.14 pagi, hasil kerjasama pasukan bomba bersama polis. Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi itu membabitkan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin serta BBP Skudai menerusi unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), dengan kekuatan logistik melibatkan satu jentera FRT, satu EMRS, tiga RIM dan sebuah Hilux PPDA.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE